mutakhir

Hanya 824 mangsa di 7 PPS

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Jumlah mangsa banjir di Terengganu menunjukkan penurunan berikutan cuaca baik sepanjang hari ini.

Sehingga jam 6 petang tadi, hanya 824 mangsa daripada 211 keluarga ditempatkan di tujuh pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah Dungun dan Kemaman.

Terdahulu, seramai 1,218 mangsa daripada 321 keluarga ditempatkan di 18 PPS di dua daerah sama.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, jumlah mangsa di Kemaman menurun apabila hanya 657 mangsa daripada 160 keluarga ditempatkan di tiga PPS, berbanding seramai 766 orang membabitkan 197 keluarga di tujuh PPS, pagi tadi.

"Di Dungun, hanya empat PPS dibuka bagi menempatkan 167 mangsa daripada 51 keluarga. Kita jangka lebih ramai mangsa akan dibenarkan pulang ke rumah masing-masing secara berperingkat," katanya.

Sementara itu, berdasarkan laporan infobanjir.water.gov.my, hanya Sungai Kemaman di Rumah Pam Paya Paman melepasi paras bahaya apabila merekodkan bacaan 4.15 meter.

Manakala, Sungai Nerus di Kampung Bukit, Setiu yang merekodkan bacaan 10.92 meter kini berada pada paras waspada.

Disiarkan pada: December 22, 2020 @ 6:53pm
d