mutakhir

Jangan ambil kesempatan naikkan harga bawang

Oleh Siti Rohana Idris

Kota Bharu: Peniaga dan pemborong di negeri ini diberi amaran agar tidak mengambil kesempatan menaikkan harga bawang merah terutama menjelang musim perayaan ini.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan, Adnan Abd Rahman berkata, walaupun belum menerima aduan, namun pihaknya akan mengambil tindakan tegas jika terdapat laporan peniaga cuba mengaut keuntungan.

"Di Kelantan tak banyak dijual bawang dari India kerana kita mengimport dari negara lain termasuk China dan Thailand.

"Kita juga menasihati pembeli agar menjadi pengguna bijak dengan membeli bawang yang lain, bukan hanya menumpukan kepada bawang dari India bagi mengelakkan penjual mengambil keuntungan tinggi," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas 2020, di sini, hari ini.

Adnan berkata, anggotanya sentiasa membuat pemantauan harga bawang yang termasuk dalam barangan keperluan asas dan setakat ini semuanya masih terkawal dan mempunyai bekalan mencukupi.

Menurutnya, jika ada peniaga sengaja menaikkan harga tanpa alasan munasabah dengan niat untuk membuat keuntungan yang berlebihan, mereka bakal berdepan tindakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

"Pegawai kami berada di semua lokasi yang menjadi tumpuan orang ramai membeli-belah seperti pasar awam, pasar tani dan pasar raya untuk menjalankan pemeriksaan serta pemantauan," katanya.

Sempena SHMMP bermula hari ini sehingga 31 Disember depan, sebanyak 14 barangan daripada kategori barangan harga terkawal disenaraikan termasuk ayam, daging kambing, tomato, kentang dan telur ayam.

Disiarkan pada: December 22, 2020 @ 7:28pm
d