mutakhir

Mujur ada bomba selamatkan dua beradik

Oleh Mohd Amin Jalil

Seremban: Dua kanak-kanak lelaki berusia dua dan empat tahun yang terperangkap di dalam kereta berjaya diselamatkan anggota bomba dan penyelamat.

Dalam kejadian jam 3.55 petang tadi, mangsa dikatakan terperangkap di dalam kenderaan diletakkan di persimpangan Kampung Arab Port Dickson di sini.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Port Dickson, Pegawai Bomba Kanan II Zainuddin Ahmad berkata, enam anggota bomba dan sebuah jentera bergegas ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan pada jam 3.55 petang.

Katanya, anggota bomba mengambil masa kira-kira lima minit mengeluarkan kedua-dua kanak-kanak lelaki yang terperangkap menggunakan peralatan khas.

"Difahamkan kedua-dua kanak-kanak itu bersama ibu mereka berusia dalam lingkungan 30-an dalam perjalanan balik ke rumah mereka di sebuah taman perumahan di Port Dickson.

"Salah seorang anaknya diletakkan di bahagian tempat duduk hadapan kereta Perodua Alza dengan enjin kenderaan dihidupkan.

"Wanita itu dikatakan berhenti sebentar untuk membeli barang di sebuah kedai berhampiran sebelum mendapati pintu kereta terkunci dipercayai dilakukan anaknya," katanya tadi.

Katanya, mangsa kemudian diserahkan kepada ibunya dalam keadaan selamat.

Disiarkan pada: December 22, 2020 @ 8:57pm
d