mutakhir

Banjir di Kemaman pulih

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Banjir yang melanda daerah Kemaman sejak Khamis lalu pulih sepenuhnya selepas dua pusat pemindahan sementara (PPS) terakhir ditutup hari ini.

Kemaman sebelum ini menjadi daerah paling teruk terjejas apabila lebih 7,000 mangsa dipindahkan ke PPS.

Seramai 39 orang daripada lapan keluarga yang ditempatkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Binjai dan SK Bukit Mentok dibenarkan pulang ke rumah masing-masing bermula 10 pagi tadi.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, Dungun menjadi satu-satunya daerah yang masih terjejas apabila 114 mangsa daripada 34 keluarga masih berada di dua PPS.

Katanya, 102 mangsa daripada 30 keluarga ditempatkan di Dewan Masjid Kampung Serdang manakala empat keluarga membabitkan 12 mangsa pula ditempatkan di Dewan Sivik Paka.

"Cuaca yang cerah membolehkan sebahagian mangsa kembali ke rumah masing-masing secara berperingkat.

"Jika keadaan cuaca berterusan baik dan kesemua mangsa pulang, ia memberi isyarat banjir gelombang keempat yang melanda negeri ini sejak Khamis lalu berakhir," katanya.

Disiarkan pada: December 23, 2020 @ 11:45am
d