mutakhir

KJ maklum harga vaksin 'sulit' [METROTV]

Oleh Rafidah Mat Ruzki

Putrajaya: Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin bersedia memberi taklimat kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) berhubung kos setiap vaksin Covid-19 yang sudah dipersetujui untuk dibeli, jika jawatankuasa itu bersetuju tidak mendedahkannya kepada umum.

Ia berikutan perundingan mengenai harga yang dibayar Malaysia kepada setiap syarikat pengeluar vaksin tertakluk kepada kerahsiaan yang dipersetujui bersama dengan pihak terbabit.

Mengambil contoh tindakan seorang pemimpin Belgium yang mendedahkan harga dibayar Kesatuan Eropah kepada syarikat pengeluar vaksin, Khairy yang juga Pengerusi Bersama Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV), berkata, pihaknya bimbang ia bakal menjejaskan perjanjian antara Malaysia dengan syarikat pengeluar jika harga kos dalam rundingan itu didedahkan.

Beliau berkata, syarat kerahsiaan itu ditetapkan syarikat pengeluar vaksin kepada mana-mana kerajaan termasuk Malaysia yang mengadakan perjanjian dengan syarikat farmasuetikal manakala ciapan oleh menteri Belgium itu juga sudah diturunkan kerana melanggar syarat kerahsiaan ditetapkan.

"Kalau kita langgar syarat ini ia akan menjejaskan perjanjian yang dijalankan dengan syarikat farmaseutikal yang menggeluarkan vaksin. Ini adalah syarat mereka, bukan syarat kita.

"Kalau ikutkan kerajaan Malaysia kita nak umum, kita tidak ada masalah untuk mengumumkannya, tetapi saya mengambil pendirian untuk menghormati perjanjian itu kerana yang penting adalah mendapat bekalan vaksin untuk rakyat kita.

"Namun, oleh kerana ia dibangkitkan dalam perbahasan politik termasuk oleh Lim Kit Siang (Ahli Parlimen Iskandar Puteri) maka saya menawarkan kepada PAC di Parlimen untuk saya memberi taklimat kepada jawatankuasa dan saya boleh memberi taklimat terperinci termasuk kos vaksin sekiranya, PAC boleh terima syarat kerahsiaan dan mereka mewakili rakyat untuk mendapatkan maklumat terperinci," katanya pada sidang berkenaan perkembangan perolehan vaksin COVID-19, hari ini.

Disiarkan pada: December 23, 2020 @ 4:33pm
d