mutakhir

400 kilang bakal diroboh, disita

Oleh Ruwaida Md Zain

Klang: Majlis Perbandaran Klang (MPK) sudah mengenal pasti kira-kira 400 kilang yang bakal dirobohkan, disita, bekalan air dan elektrik dipotong berikutan masih tidak membuat sebarang permohonan untuk pemutihan kilang masing-masing.

Yang Dipertua MPK, Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin berkata, kesemua kilang terbabit masih mempunyai kira-kira tujuh hari untuk berbuat demikian sebelum tarikh akhir 31 Disember ini.

Katanya, sekiranya kilang-kilang terbabit tidak menghantar sebarang dokumen berkaitan pemutihan sehingga tempoh itu, MPK tidak teragak-agak melakukan tindakan penguatkuasaan sebagaimana arahan kerajaan negeri sebelum ini.

"Kira-kira 400 kilang di kawasan pentadbiran MPK belum berbuat apa-apa dan belum menghantar sebarang dokumen, walaupun Kerajaan Negeri sudah memutuskan pemutihan kilang sehingga 31 Disember ini, itu (kilang) yang akan dikejar MPK.

"Dari segi pelaksanaan dan penguatkuasaan, kita akan melihat keutamaannya sama ada putuskan bekalan elektrik dan air, robohkan kilang atau sita.

"Jadi, kira-kira 400 kilang ini dalam perhatian dan sudah dikenal pasti oleh MPK untuk dirobohkan.

Kilang hantar dokumen, itu tiada masalah, akan dibincangkan dan akan ada keputusan, yang tidak buat apa-apa akan dikenakan tindakan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyampaian hadiah Program 130 untuk Video, Fotografi dan Melukis kepada pemenang di lobi MPK, di sini hari ini.

Terdahulu, beliau mempengerusikan Mesyuarat Bulan MPK di Dewan Raja Mahadi, yang turut dihadiri Timbalan YDP MPK, Elya Marini Darmin.

Justeru itu katanya, sebelum menjelang 31 Disember ini, MPK berharap kilang yang belum berbuat demikian segera menghantar dokumentasi untuk pemutihan kilang masing-masing.

"Sebagai pihak berkuasa tempatan (PBT), MPK kena buat penguatkuasaan sebab pada 1 Januari depan, tempoh pemutihan sudah tamat.

"Bermakna pada 1 Januari ini, 400 kilang ini akan jadi lokasi panas yang disasarkan oleh MPK untuk penguatkuasaan.

"Pemutihan ini sudah lama dijalankan. kita tidak mahu kalau dianjakkan tempoh pemutihan, akan banyak lagi kilang haram tumbuh bagai cendawan," katanya.

Beliau berkata, secara keseluruhannya terdapat lebih 700 di Klang, di mana 300 kilang sudah memperoleh keputusan dan mengemukakan dokumen untuk pemutihan.

Sebelum ini, kerajaan negeri menerusi Program Pematuhan Syarat dan Penguatkuasaan Kilang Tanpa Kebenaran memberi tempoh sehingga 31 Disember untuk kilang tanpa kebenaran di negeri ini melakukan pemutihan.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru negeri, Ng Sze Han berkata, program pemutihan berkenaan sepatutnya tamat 30 September lalu tetapi dilanjutkan susulan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19.

Katanya, Program pemutihan itu yang terakhir dan selepas tamat tempoh, tindakan penguatkuasaan akan dijalankan secara bersepadu mengikut peruntukan perundangan yang berkuat kuasa.

Disiarkan pada: December 23, 2020 @ 4:41pm
d