mutakhir

Daging sejuk beku, makanan kering seludup bernilai RM2 juta dirampas

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendedahkan sejumlah daging sejuk beku dan bahan-bahan kering seludup melebihi 20 tan dianggarkan bernilai hampir RM2 juta dirampas tahun ini.

Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (Pasukan Gerakan Am), Datuk Kasuahdi Ali berkata, rampasan dilakukan bagi tempoh dari 27 Januari lalu hingga hari ini.

Katanya, rampasan membabitkan 40 kes di Kelantan dengan penahanan lima lelaki tempatan berumur lingkungan 24 hingga 35 tahun serta 36 jenis kenderaan turut disita.

Beliau berkata, terdapat juga penyeludup yang meloloskan diri dan meninggalkan barang-barang yang dibawa dari negara sempadan berkenaan.

"Selain daging sejuk beku, antara barangan lain yang dirampas ialah ayam, buah-buahan, sayur-sayuran dan beras.

"Kesemua barang-barang sejuk beku termasuk daging dan ayam ini dipercayai dibawa masuk dari Thailand. Tangkapan dan rampasan ini dilakukan oleh PGA Kelantan manakala tiada kes dicatatkan di negeri lain yang dalam kawasan operasi PGA," katanya kepada Bernama hari ini.

Kasuahdi berkata, kegiatan penyeludupan daging sejuk beku dan pelbagai barangan lain ini adalah sebahagian daripada penugasan Op Benteng Covid-19 di Kelantan.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) kerana membawa masuk keluaran pertanian tanpa permit import yang sah daripada Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) dan Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 iaitu memiliki barangan tidak berkastam.

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya sentiasa melakukan rondaan dan pemantauan, selain menggunakan teknologi dron bagi mengekang kegiatan penyeludupan daging dan barangan beku daripada terus berleluasa termasuk kes lari daripada bayar cukai.

Pada Isnin lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor membuka satu kertas siasatan berhubung isu penyeludupan daging import atau kartel daging import dan dijalankan di bawah Seksyen 16 dan Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Pada 1 Disember, sebuah gudang syarikat daging sejuk beku di Taman Perindustrian Senai, Johor Bahru, Johor diserbu pihak berkuasa hasil risikan MAQIS kerana dipercayai terbabit dalam kegiatan menyeludup daging sejuk beku.

Kartel berkenaan dipercayai menjadikan sebuah gudang di Senai sebagai lokasi untuk membuat label dan cap palsu yang kemudiannya akan ditampal pada kotak daging yang dibungkus semula itu.

Disiarkan pada: December 23, 2020 @ 7:51pm
d