mutakhir

Bantu 19 penghantar makanan pejalan kaki

Oleh Redzuan Muharam

Kuala Lumpur: Nasib 19 penghantar makanan pejalan kaki di sekitar Kota Kinabalu, Sabah mendapat perhatian aktivis muda, Adrian Edy Siaw Chee Hua, yang tampil menyampaikan sumbangan kepada mereka, baru-baru ini.

Adrian, 24, berkata sumbangan itu merangkumi barangan keperluan asas seperti beras, minyak, gula, tepung, telur dan sardin yang dibeli menggunakan wang disalurkan orang ramai dan simpanannya.

Menurutnya, sumbangan itu bertujuan meringankan beban penghantar makanan yang terkesan ketika pandemik Covid-19.

"Penerima sumbangan terdiri daripada pelbagai latar belakang, ada yang bujang, sudah berkahwin, tinggal di pulau, menaiki bot untuk bekerja di bandar dan baru pulang ke kampung selepas dibuang kerja di Kuala Lumpur.

"Ketika ini, mereka bekerja mengikut syif dan difahamkan, pesanan daripada pelanggan semakin berkurangan.

"Ada kalanya, mereka hanya menerima memang tiga pesanan saja dalam sehari dan tetap perlu meredah hujan demi mencari rezeki," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Adrian berkata, selain barangan keperluan asas, dua penghantar makanan iaitu Salmy Sabing, 34, dan Mohd Mursidon, 23, turut menerima basikal untuk kegunaan harian mereka.

Katanya, buat masa ini, pihaknya hanya dapat membelikan dua basikal saja dan bercadang menyumbang kepada lebih ramai lagi pada masa depan.

"Dua penerima basikal itu terpilih kerana dalam kalangan semua, mereka paling memerlukan. Misalnya Mohd Mursidon adalah anak yatim selepas bapanya meninggal dunia dan bekerja sebagai penghantar makanan untuk menyara keluarganya.

"Dia sudah lama berhasrat memiliki basikal dan akhirnya impiannya tercapai manakala Salmy pula menerima sumbangan kerana dia adalah ibu kepada lima anak yang masih bekerja demi membantu suami.

"Meskipun begitu, basikal itu boleh digunakan penghantar makanan lain secara bergilir-gilir dan diharapkan sumbangan ini dapat meringankan beban dan menjimatkan masa untuk menghantar makanan," katanya.

Disiarkan pada: December 23, 2020 @ 9:00pm
d