mutakhir

Bekerjasama sumbang bantuan pendidikan, komunikasi

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Celcom Axiata bekerjasama dengan Malaysian Relief Agency (MRA) dalam memberikan sokongan kemanusiaan dan bantuan alat bantu mengajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Dallas, Pitas, Sabah.

Pengurus Jualan Celcom Sabah, Melvin Jeffrine Mojinun berkata, bantuan itu membabitkan bantuan pendidikan dan komunikasi.

"Ia membabitkan empat komputer dan modem Internet bagi kegunaan pendidikan di SK Dallas dan bantuan makanan asas buat penduduk di empat kampung di kawasan itu," katanya.

Sementara itu, Presiden MRA, Dr Mohd Daud Sulaiman berkata, sejak misi kemanusiaan Covid-19 digerakkan awal tahun ini, hampir RM13 juta sumbangan disalurkan melalui MRA di seluruh negara manakala MRA Sabah mengagihkan hampir 15,000 pek makanan sejak misi dilaksanakan.

"Dalam masa sama, program digerakkan di Pitas mendapat sokongan dan bantuan logistik daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan daripada wakil Pasukan Taawun Tabligh dan Islamic Relief Malaysia.

"MRA Sabah melancarkan Tabung Operasi Covid-19 2.0 bagi membantu mereka yang terjejas dengan pandemik Covid-19," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, orang awam boleh menyumbang terus ke akaun Malaysian Relief Agency Sabah (Maybank) - 5602 4102 1056.

Menurutnya, buat masa ini, MRA Sabah membuka lima pusat operasi Covid-19 di Tawau, Beaufort, Kota Kinabalu, Sandakan dan Labuan untuk penghantaran bantuan.

Disiarkan pada: December 23, 2020 @ 10:43pm
d