mutakhir

PGA7 rampas 9 tan ayam sejuk beku

Oleh Syaherah Mustafa

Rantau Panjang: Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) merampas 9,840 kilogram (kg) ayam sejuk beku bernilai hampir RM100,000 di Jalan Banggol Kulim, di sini, awal pagi hari ini.

Pegawai Pemerintah Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7), Superintendan Azhari Nusi berkata, dalam kejadian 2.59 pagi itu, anggota bertugas membuat rondaan sebelum terserempak sebuah lori berwarna putih yang keluar dari Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang.

Katanya, pihaknya kemudian mengekori lori itu dan menahan kenderaan terbabit sebelum memperkenalkan diri sebagai anggota polis.

"Pegawai bertugas kemudian meminta pemandu berusia 24 tahun berasal dari Machang itu, mengemukakan dokumen pengenalan diri dan invois berkaitan muatan barangan yang dibawa.

"Bagaimana pun, setelah diperiksa dokumen yang dikemukakan dengan kuantiti kotak di dalam lori terbabit adalah meragukan. Pemandu ditahan dan dibawa ke Komtak PGA Taman Bakti, di sini.

"Hasil pemeriksaan lanjut, mendapati kuantiti jumlah kotak yang berisi ayam sejuk beku melebihi dan tidak sama dengan dokumen yang dikemukakan," katanya.

Azhari berkata, anggota merampas kesemua lebihan kotak yang berisi ayam sejuk beku, manakala yang sudah diisytiharkan dipulangkan balik kepada pemilik sebagai mana jumlah yang dinyatakan di dalam dokumen.

"Kesemua barangan yang dirampas kemudian dibawa ke Balai Polis Rantau Panjang untuk siasatan dan tindakan lanjut, manakala kes disiasat di bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011.

"Siasatan mendapati lelaki itu membawa muatan kotak berisi ayam sejuk beku melebihi jumlah yang dinyatakan di dalam dokumen dengan cara menyembunyikannya di sebalik kotak yang diisytiharkan bagi mengelak daripada dibayar cukai tambahan," katanya.

Disiarkan pada: December 24, 2020 @ 9:23am
d