mutakhir

Rela sengsara untuk kucing terbiar

Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli

Kuala Terengganu: "Saya tidak akan berputus asa untuk terus menjaga kucing terbiar ini walaupun kini dihimpit masalah kewangan," kata Roselina Mohamed.

Roselina, 57, dari Kampung Panji Alam memelihara sehingga 60 kucing terbiar di rumahnya sejak 22 tahun lalu.

Katanya, dia berdepan masalah kewangan meruncing apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan Mac lalu.

"Sekarang nak beli makanan dan pasir najis kucing pun tidak mampu tetapi saya masih bertahan kerana ada penduduk yang memberi sumbangan.

"Saya sendiri sudah berhutang lebih RM2,000 untuk menampung kos makanan dan keperluan lain kucing ini.

"Bukan sengaja mencari masalah membela kucing terbiar tetapi saya sudah berjanji pada diri untuk meneruskan khidmat ini hingga ke akhir hayat," katanya.

Tambahnya, dia memerlukan kira-kira RM3,000 sebulan untuk membiayai kos keseluruhan penjagaan kucing itu.

"Kerana faktor kewangan, saya terpaksa mencatu makanan kucing dan mengurangkan penggunaan pasir najis supaya kos bulanan tidak terlalu besar.

"Bergantung kepada kemampuan, jika ada rezeki lebih, semua kucing akan diberikan makanan dengan jumlah yang banyak tetapi jika sebaliknya, makanan akan dicatu.

"Catuan makanan bukan bermakna kucing perlu berlapar, kucing tetap makan tiga kali sehari tetapi dengan kuantiti sederhana," katanya.

Menurutnya, dia tidak pernah membiarkan kucingnya berlapar seharian walaupun mengalami masalah kewangan untuk membeli makanan haiwan itu.

"Saya rela berlapar asalkan semua kucing cukup makan malah tidak sanggup mendengar kucing merengek kelaparan.

"Wang belanja pemberian anak pada setiap bulan pun saya guna untuk menampung perbelanjaan kucing itu.

"Tak kisah jika susah dan mengalami kesulitan menjaga, menguruskan dan menampung perbelanjaan kucing itu kerana ia memberi kepuasan kepada saya," katanya.

Bercerita mengenai caranya menjaga dan menguruskan semua kucing itu, katanya, dia meletakkan semua kucingnya di dalam sangkar bagi mengelakkan ia berkeliaran ke rumah jiran.

"Saya membuat sistem giliran untuk melepaskan kucing bermain di persekitaran rumah.

"Kucing haiwan manja, ia tidak boleh berterusan dikurung di dalam sangkar, ia perlu dilepaskan juga," katanya.

Disiarkan pada: December 24, 2020 @ 1:46pm
d