mutakhir

'Coklat di Pulau Pangkor masih ada'

Oleh Balqis Jazimah Zahari

Ipoh: "Coklat di Pulau Pangkor masih ada," kata Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas status bekalan coklat di Pulau Bebas Cukai (PBC) itu selepas tular di media sosial beberapa hari lalu berhubung kehabisan coklat di Pulau Langkawi.

"Kita difahamkan (coklat) masih ada lagi malah kita dimaklumkan oleh penjual mereka sedang mengadakan promosi jualan murah akhir tahun di Pulau Pangkor.

"Jadi sesiapa yang (melihat) sudah habis coklat di Pulau Langkawi datanglah ke Pulau Pangkor," katanya pada sidang media sempena Inisiatif Bajet 2021 Sektor Pelancongan di ASOW Eatery Canteen, Jalan Sultan Iskandar di sini hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Nolee Ashilin berkata, satu jawatan khas sudah dibentuk untuk memantau pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di Pulau Pangkor dan Lumut.

Katanya, ini berikutan pihaknya melihat faktor peningkatan pengunjung berbanding sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di kawasan itu.

"Kita mempunyai Jawatankuasa khas memantau keadaan di Pulau Pangkor dan juga Lumut bagi pematuhan SOP, ini kerana kita melihat dari segi keadaan kesesakan dan premis jeti yang kecil.

"Kita juga sudah mengambil tindakan tegas bersama agensi yang dipengerusikan oleh pegawai daerah untuk memastikan SOP tidak menjadi satu isu yang berterusan di kawasan sana," katanya.

Terdahulu, media sebelum ini melaporkan Pulau Pangkor, destinasi pelancongan terkemuka di Perak dan di Malaysia mencipta sejarah apabila menjadi Pulau Bebas Cukai (PBC) berkuat kuasa 1 Januari 2020.

Disiarkan pada: December 24, 2020 @ 3:13pm
d