mutakhir

Tayar meletup punca monorel terbakar

Oleh Nor Azizah Mokhtar

Kuala Lumpur: Kebakaran dua gerabak monorel di Stesen Monorel Maharajalela, di sini, pagi tadi berpunca apabila satu daripada tayar tren monorel berkenaan meletup.

Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, satu daripada 64 tayar digunakan tren empat gerabak itu meletup dipercayai berpunca daripada tekanan angin tayar yang rendah sebelum terbakar.

"Tiada penumpang yang cedera kerana semua selamat diturunkan di Stesen Maharajalela sebelum kebakaran itu berlaku 7.15 pagi ini.

"Pasukan bomba yang tiba di tempat kejadian 10 minit kemudian, berjaya memadamkan kebakaran sepenuhnya pada 8.56 pagi," kata kenyataan itu.

Menurut pengendali perkhidmatan laluan monorel Rapid KL itu, perkhidmatan tren ulang-alik diaktifkan pada 7.38 pagi untuk perkhidmatan antara Stesen Titiwangsa dan Stesen Hang Tuah bagi kemudahan penumpang yang terjejas.

"Pada masa sama, perkhidmatan van perantara percuma turut disediakan untuk membawa penumpang antara Stesen Monorel KL Sentral, Tun Sambathan dan Maharajalela.

"Tren yang terbakar kemudian ditunda keluar daripada Stesen Maharajalela pada 10.59 pagi ke depoh untuk siasatan lanjut," katanya.

Kata kenyataan itu lagi, penumpang yang terbabit dalam insiden itu sudah ditawarkan kupon bayaran balik yang boleh dituntut di semua kaunter Monorel KL.

"Rapid KL kesal dan memohon maaf atas insiden berkenaan dan kesulitan yang berlaku," katanya.

Terdahulu, Jabatan Bomba dan Penyelamat dalam kenyataan hari ini memaklumkan kebakaran itu membabitkan kepala monorel dan satu gerabak penumpang yang menghala ke KL Sentral.

Sepasukan 21 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Hang Tuah dan BBP Pudu dikejarkan ke lokasi untuk memadam kebakaran.

Disiarkan pada: December 24, 2020 @ 3:31pm
d