mutakhir

Suspek simbah cat, baling molotov dicekup

Oleh Omar Ahmad

Kulai: Dua ahli sindiket Ah Long ditahan di kediaman mereka di Danga Bay, Johor Bahru, 1.35 pagi kelmarin, berhubung kejadian kerja khianat.

Ketua Polis Daerah Ibu Pejabat Polis Daerah Kulai, Superintenden Tok Beng Yeow berkata, tangkapan terhadap dua suspek berusia 22 dan 25 tahun itu dibuat selepas menerima dua laporan polis, Selasa dan Rabu lalu.

"Dalam laporan pertama, pengadu seorang lelaki berusia 52 tahun memaklumkan terdapat dua lelaki tidak dikenali menyimbah cat di halaman rumahnya dan mengenai dua kereta Mercedes Benz dan Perodua Myvi miliknya.

"Malah suspek juga meninggalkan dua nota ugutan di pagar rumah mangsa sebelum suspek melarikan diri pada 11.45 malam, Isnin lalu.

"Kemudian, pengadu yang sama membuat laporan polis lagi memaklumkan suspek sekali lagi melakukan ugutan dengan membaling bom petrol (molotov) ke kediamannya pada 1 pagi semalam, sebelum melarikan diri,"katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kulai, di sini hari ini.

Menurut Beng Yeow, dalam serbuan itu polis merampas Proton Waja yang digunakan suspek dan dua telefon bimbit.

Katanya suspek juga dipercayai terlibat dalam 11 kes jenayah di Kulai, Tampoi dan Bukit Indah.

"Siasatan dibuat terhadap suspek mendapati seorang daripada mereka sedang diburu polis bersabit kesalahan jenayah lampau.

"Kedua-kedua suspek kini dikenakan reman selama enam hari bermula semalam hingga 28 Disember," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan.

Disiarkan pada: December 24, 2020 @ 5:50pm
d