mutakhir

Padah beraksi di jalanan

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Tindakan tiga penunggang motosikal melakukan aksi superman dan zig zag serta menunggang secara berbahaya hanya mengundang padah apabila ditahan di Lebuhraya Utara Selatan dan Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite), malam tadi.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Nadzri Hussain berkata, mereka ditahan dalam operasi samseng jalanan yang bermula pada 12 tengah malam membabitkan seorang pegawai dan 18 anggota.

Katanya, dua lelaki berusia 22 dan 23 tahun yang masing-masing menunggang motosikal ditahan ketika pasukan melakukan pemantauan pada di Lebuhraya Utara Selatan menghala ke Kuala Lumpur.

"Mereka dilihat melakukan aksi dengan bersaing sesama sendiri, zig-zag dan meniarap di atas motosikal dengan meluruskan kedua-dua kaki ke bahagian belakang (superman).

"Mereka melakukan perbuatan itu dari Kilometer (KM) 296.6 sehingga KM 300 arah Kuala Lumpur yang mana aksi tunggangan itu amat berbahaya kepada diri sendiri serta pengguna jalan raya yang lain.

"Susulan itu, pada jam 1.10 pagi, pasukan polis menahan suspek di bahu jalan Plaza Tol Sungai Besi," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Nadzri berkata, polis kemudian menahan lelaki berusia 19 tahun selepas dia melakukan aksi superman bermula di KM 28.5 sehingga KM Lebuhraya Elite arah ke Kuala Lumpur pada 1.55 pagi.

"Kesemua suspek bersama motosikal kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang dan IPD Sepang untuk tindakan selanjutnya.

"Dalam operasi itu juga sebanyak 13 saman dikeluarkan dan kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Disiarkan pada: December 25, 2020 @ 11:43am
d