mutakhir

Tetap patuh SOP

Oleh Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Orang ramai tidak melepaskan peluang keluar bersama keluarga sempena cuti umum Hari Natal, hari ini biarpun kes jangkitan Covid-19 masih belum menunjukkan trend menurun.

Tinjauan Harian Metro di sekitar ibu kota mendapati warga kota masing-masing memanfaatkan cuti dan kebenaran rentas negeri untuk keluar bersama.

Antara lokasi yang menjadi pilihan warga kota adalah di Zoo Negara, kawasan perkelahan Kemensah dan sekitar pusat beli-belah Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR).

Walaupun begitu, rata-rata warga kota yang keluar di kawasan tumpuan dilihat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Kakitangan awam, Hasniza Ismail, 44 berkata, sempena cuti awam Hari Natal, dia membawa anak-anak melawat Zoo Negara.

"Kasihan anak-anak sudah lama tidak keluar berjalan-jalan dan memandangkan kelonggaran PKP, jadi saya ambil kesempatan yang ada untuk bagi anak-anak gembira.

"Tapi saya pastikan kami ikut semua arahan SOP termasuk anak-anak saya pakaikan pelitup muka dan guna pembasmi kuman," katanya.

Bagi penghantar barang, Mohamad Ibnoor Shuib, 29, dia dan isteri tidak melepaskan peluang untuk berjalan-jalan sekitar ibu kota.

"Kebetulan hari ini saya dapat cuti, jadi saya keluar beli barang keperluan dan menemani isteri 'window shopping'.

"Seronok tengok ramai orang dah mula keluar, saya harap dapat rancakkan semula ekonomi peniaga tempatan dan paling penting kita jaga diri," katanya yang turut berharap orang ramai sentiasa mematuhi SOP.

Sementara itu, peniaga kain, Ahmad Syamil Abdul Razak, 30, berkata, dia bersyukur kerana pelanggan mula ramai semula terutama selepas kebenaran rentas negeri.

Katanya, biarpun jumlah pelanggan tidak seramai sebelum Covid-19 melanda, namun orang ramai sudah mula keluar membeli-belah.

"Mungkin hari ini cuti umum dan kebanyakan sudah menerima gaji, jadi orang ramai keluar untuk mendapatkan keperluan mereka.

"Bagaimanapun, saya juga sentiasa memastikan pelanggan mengikut SOP kerana kita tidak mahu kes jangkitan jadi tak terkawal," katanya kepada Harian Metro.

Disiarkan pada: December 25, 2020 @ 6:55pm
d