mutakhir

Padah berkumpul, buat bising

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Petaling Jaya: Seramai 43 individu dikompaun kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dalam dua serbun berasingan awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, dalam serbuan pertama, 16 individu dikompaun kerana berkumpul dan membuat bising di kawasan perumahan di Taman Bukit Gasing.

"Selepas menerima aduan awam, sepasukan polis dari Unit Rondaan Bermotosikal (URB) ke lokasi kejadian pada 2.30 pagi.

"Semua individu yang berkumpul dikompaun RM1,000,"katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Nik Ezanee berkata, pihaknya juga menyerbu pusat hiburan di Seksyen 10 yang didapati beroperasi ketika tempoh PKPB.

"Ketika serbuan seramai 27 pengunjung sedang leka berhibur dan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Polis turut merampas 16 minuman keras dan peralatan audio. Kes disiasat mengikut Seksyen 3 Kanun Keseksaan dan Peraturan 11(1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988," katanya.

Sementara itu, dalam operasi berlainan, Nik Ezanee berkata, seramai sembilan individu ditahan kerana memandu di bawah pengaruh alkohol.

"Operasi turut mengeluarkan 204 saman atas pelbagai kesalahan jalan raya dan memeriksa 1038 kenderaan.

"Semua individu yang ditahan berusia 30 hingga 50 tahun," katanya.

Disiarkan pada: December 25, 2020 @ 7:04pm
d