mutakhir

Rakyat Malaysia mempunyai kawalan kendiri tinggi - KKM

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati masyarakat Malaysia mempunyai kawalan kendiri tinggi.

Ia susulan tinjauan amalan normal baharu secara dalam talian dilakukan KKM bermula 25 hingga 30 November lalu membabitkan 36,841 responden.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, hasil tinjauan mendapati majoriti responden sentiasa mengamalkan kawalan kendiri bagi pencegahan Covid-19 iaitu memakai pelitup muka (93.3 peratus), menjaga jarak fizikal (89.6 peratus) dan mencuci tangan dengan air dengan sabun atau cecair pensanitasi tangan (89.7 peratus).

"Hasil tinjauan mendapati 93.8 peratus responden berani menegur ahli keluarga untuk memakai pelitup muka; 90.1 peratus responden berani menegur ahli keluarga untuk menjaga jarak fizikal dan 90.8 peratus responden berani menegur ahli keluarga untuk mencuci tangan dengan air dan sabun atau cecair nyah kuman.

"Manakala berkaitan dengan teguran kepada rakan pula, didapati 82.2 peratus responden menyatakan mereka berani menegur rakan untuk memakai pelitup muka; 79.4 peratus responden berani menegur rakan untuk menjaga jarak fizikal; dan 79.2 peratus responden berani menegur rakan untuk mencuci tangan dengan air dan sabun atau cecair nyah kuman," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, hasil tinjauan itu adalah satu dapatan amat positif dan memberangsangkan serta menunjukkan masyarakat Malaysia mempunyai kawalan kendiri tinggi.

Beliau berkata, tinjauan itu adalah untuk mengenal pasti amalan normal baharu diamalkan dalam kalangan komuniti dan mengenal pasti pemerkasaan komuniti dalam menegur ahli keluarga, rakan dan individu lain untuk mengamalkan normal baharu di Malaysia.

Katanya, segala perubahan bermula dengan diri sendiri dan ia adalah langkah pertama dalam segala kejayaan termasuk kejayaan memerangi pandemik Covid-19.

Disiarkan pada: December 25, 2020 @ 8:23pm
d