mutakhir

Lelaki ajak rakan mandi laut dikhuatiri lemas

Oleh Rosli Ilham

Marang: Lelaki dikhuatiri lemas ketika mandi bersama enam rakannya di pantai Jambu Bongkok, di sini, 6.30 petang hari ini.

Mangsa yang berusia 48 tahun itu dikatakan penghuni Pusat Jagaan Baitul Cakna Lelaki cawangan Kuala Berang, Hulu Terengganu.

Difahamkan, mangsa yang berasal dari Kuala Berang itu datang untuk bertemu dengan rakannya yang tinggal di pusat jagaan sama di cawangan Kampung Jambu Bongkok.

Mangsa dipercayai mengajak rakannya mandi di pantai terbabit sejak awal pagi, namun ajakan itu ditolak rakannya.

Bagaimanapun, mereka kemudian dikatakan bersetuju dan pergi ke pantai terbabit pada sebelah petang sebelum mandi di situ.

Keseronokan enam sahabat terbabit mandi di situ berakhir dengan tragedi apabila mangsa hilang dan dikhuatiri lemas.

Ketua Balai Bomba Dan Penyelamat (BBP) Marang, Penolong Penguasa BombaYahaya Hanapi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 6.37 petang sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

Menurutnya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan dengan membuat pemantauan di kawasan pesisir pantai dan sehingga 9.15 malam ini, mangsa belum ditemui.

Disiarkan pada: December 25, 2020 @ 10:29pm
d