mutakhir

Polis nafi pesakit Covid-19 ditempatkan di Stadium Tertutup Shah Alam [METROTV]

Oleh Norzamira Che Noh

Shah Alam: Polis Selangor menafikan berita palsu berhubung pesakit Covid-19 kini ditempatkan di Stadium Tertutup Shah Alam susulan kesesakan di Hospital Sungai Buloh.

Pemangku Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, pihaknya mengesan satu video berdurasi 32 saat ditularkan menerusi media sosial memaparkan sekumpulan individu ditempatkan dalam sebuah stadium tertutup.

"Insiden berkenaan didakwa berlaku di stadium tertutup di sini dan dikatakan berpunca daripada kesesakan di Hospital Sungai Buloh yang tidak dapat menampung jumlah pesakit Covid-19.

"Sehubungan itu, polis Selangor mengesahkan berita disebarkan melalui klip video itu adalah berita palsu dan tidak benar sama sekali," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Arjunaidi turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang perkongsian atau menyebarkan berita diperoleh daripada sumber tidak sahih.

Katanya, perbuatan berkenaan boleh mencetuskan suasana panik, tidak harmoni serta boleh menggugat ketenteraman awam.

"Masyarakat boleh mendapatkan pengesahan daripada pihak berkuasa terlebih dahulu tentang sesuatu isu atau berita," katanya.

Menerusi video berkenaan, sekumpulan individu dilihat ditempatkan di ruang tengah stadium dan turut kelihatan kawat berduri mengelilingi ruang berkenaan.

Disiarkan pada: December 26, 2020 @ 12:15am
d