mutakhir

Ombak kuat cabaran pencarian dua lelaki dikhuatiri lemas

Oleh BERNAMA

Marang: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dua lelaki yang dikhuatiri lemas di dua pantai berasingan di sini, masih gagal menemui petunjuk baharu setakat 10 pagi hari ini.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd Zain Mat Dris berkata, pencarian sejak 7 pagi itu bermula di pesisir pantai dari Kuala Marang ke Kuala Dungun sejauh 52 kilometer (km).

"Operasi SAR di Kelulut pagi ini akan menggunakan bot Pasukan Polis Marin dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) kerana ia lebih sesuai dengan persekitaran pantai dengan ombak yang kuat ketika ini.

"Seramai 43 anggota daripada pelbagai agensi termasuk polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), APMM dan Rela terbabit dalam operasi di Pantai Kelulut pagi ini," katanya kepada Bernama, hari ini.

Kejadian pertama berlaku di Pantai Jambu Bongkok apabila bomba menerima panggilan kecemasan pada 6.37 petang semalam, manakala kejadian kedua di Pantai D'Marang Village, Kelulut, hanya beberapa minit selepas itu.

Bagi kes di Pantai Jambu Bongkok, mangsa ialah Wan Nashaifudin Wan Latif, 48, yang beralamat di Kampung Bukit Tok Bat, Kuala Berang, manakala bagi kes di Pantai D' Marang Village, Kelulut mangsa dikenali sebagai Naim Hariri Kamaruddin, 31, beralamat di Kuala Lumpur.

Difahamkan Naim Hariri sepatutnya melangsungkan perkahwinannya di Masjid Kampung Surau Haji Mat Zin, Bukit Payung, pagi ini.

Keluarga Naim Hariri dan tunangnya yang ditemui pemberita, enggan ditemu bual kerana terlalu sedih dengan kejadian itu.

Berita berkaitan

'Dua lelaki lemas masih belum ditemui'

'Cepatlah kita mandi laut, nanti aku mati kempunan...'

'Bakal pengantin lelaki dijadual bernikah hari ini dikhuatiri lemas [METROTV]'

'Lelaki ajak rakan mandi laut dikhuatiri lemas'

Disiarkan pada: December 26, 2020 @ 11:28am
d