mutakhir

Wanita rugi RM90,581 tertipu pelaburan emas

Oleh BERNAMA

Kuantan: Seorang peniaga wanita mendakwa kerugian RM90,581 selepas terpedaya dengan sindiket pelaburan emas tidak wujud melalui laman sosial.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata wanita berusia 36 tahun itu mendakwa tertarik dengan iklan yang dilihatnya menerusi Facebook sebelum menghubungi seorang ejen melalui aplikasi Telegram.

Beliau berkata, mangsa mendakwa ejen berkenaan menjanjikannya keuntungan berlipat ganda selepas membuat pelaburan yang beralamat di United Kingdom itu.

"Wanita itu bertindak melakukan pindahan wang berjumlah RM90,581.70 ke dalam beberapa akaun bank yang diberikan ejen berkenaan bermula 16 Oktober sehingga 11 Disember lalu.

"Namun, mangsa yang kehabisan wang berasa tertipu oleh suspek kerana tidak mendapat sebarang pulangan dalam tempoh tersebut," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Sehubungan itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Bentong dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Disiarkan pada: December 26, 2020 @ 12:22pm
d