mutakhir

Lima mangsa bot karam selamat

Oleh Asrol Awang

Kuantan: Empat lelaki dan seorang wanita terselamat selepas bot gentian kaca dinaiki mereka karam di kedudukan kira-kira tujuh batu nautika dari Kuala Pahang, Pekan, 10 pagi semalam.

Mereka yang terselamat ialah Mohamad Shafizal Mohd Saad, 25, Muhamad Ashraf Shahrul Azmi, 26, Wan Nur Azlieda Wan Mohd Zaki, 26, Azmi Yahya dan Azli Sulaiman.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pahang, Laksamana Pertama Maritim Datuk Amran Daud berkata, sebaik menerima aduan berkenaan, Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kuantan mengaktifkan operasi CARILAMAT pada 10.15 pagi.

Katanya, bot Kilat 49 APMM yang sedang beroperasi di sekitar perairan Kuantan diarahkan ke lokasi kejadian untuk misi mencari dan menyelamat (SAR).

"Setibanya bot kami di lokasi kejadian, semua mangsa sudah diselamatkan bot nelayan tempatan yang ketika itu melalui kawasan itu.

"Nelayan tempatan melihat lima mangsa berada dalam situasi kecemasan.

"Mohamad Shafizal, Muhamad Ashraf dan Wan Nur Azlieda adalah rakan sekerja manakala Azmi dan Azli, masing-masing tekong dan kru bot terbabit," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, berikutan itu semua mangsa dibawa ke Jeti Kuala Pahang dalam keadaan selamat pada 10.40 pagi.

Menurutnya, kKetika kejadian, lima mangsa terbabit memakai jaket keselamatan dan mereka ke laut untuk membuat tinjauan dasar laut.

"Sehubungan itu, komuniti maritim dinasihat supaya sentiasa memakai jaket keselamatan dan peka dengan perubahan semasa cuaca setiap kali turun ke laut bagi mengelak berlakunya sebarang kejadian yang tidak diingini.

"Sebarang aduan dan kecemasan di laut boleh dilaporkan melalui talian MERS 999 atau ke Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang di talian 09-5717345 dan MRSC KUANTAN di talian 09-5717368," katanya.

Disiarkan pada: December 26, 2020 @ 2:14pm
d