mutakhir

TH Properties buat siasatan dalaman

Oleh Hazira Ahmad Zaidi

Kota Bharu: Video yang tular di media sosial membabitkan seorang pegawai kanan TH Properties Sdn Bhd sejak kelmarin bukan menunjukkan imej sebenar syarikat berkaitan kerajaan (GLC) itu.

Difahamkan, individu terbabit mengeluarkan kata-kata kurang dalam sopan dalam video berdurasi hampir tiga minit sekali gus boleh menjejaskan imej syarikat itu.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Ahmad Marzuk Shaary berkata, beliau sudah melihat video tular itu dan TH Properties juga sudah mengeluarkan kenyataan permohonan maaf individu terbabit.

"Mesyuarat itu diadakan secara tertutup dan kita tidak tahu bagaimana video itu boleh bocor sehingga tular di media sosial. Barangkali ada perkara perlu dilakukan siasatan secara menyeluruh dan komprehensif.

"Kenyataan media yang dikeluarkan oleh TH Properties sudah memadai, namun di peringkat pelaksanaan tetap perlu ada siasatan dalaman untuk mengetahui apa yang berlaku dari segi pentadbiran," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Program Berkhatan Parlimen Pengkalan Chepa 2020, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Marzuk berkata, apa yang ditularkan itu bukan gambaran sebenar TH sebagai institusi umat Islam, tetapi lebih bersifat peribadi.

Disiarkan pada: December 26, 2020 @ 2:52pm
d