mutakhir

7 PATI kena cekup

Oleh Norzamira Che Noh

Shah Alam: Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) Semenyih menahan tujuh pendatang asing tanpa izin (Pati) di Jalan Masjid, Kampung Sungai Serdang di Tok Muda, Kapar pagi semalam.

Tujuh individu termasuk tiga wanita itu ditahan sekitar 10.30 pagi selepas gagal menunjukkan dokumen perjalanan sah.

Pegawai Pemerintah Batalion 4 PGA, Superintendan Rizal Mohamed berkata, empat yang ditahan adalah lelaki warga Indonesia manakala tiga wanita adalah warga Myanmar.

"Kesemua tangkapan pendatang asing tanpa izin (Pati) berusia dalam lingkungan 25 hingga 63 tahun. Siasatan lanjut mendapati tiga wanita berkenaan mengaku baru sahaja tiba dari Dumai, Indonesia dengan menggunakan bot dan mendarat di pesisir pantai Sungai Serdang.

"Manakala empat lelaki warga Indonesia pula dipercayai cuba keluar melalui jalan yang tidak diwartakan iaitu jalan laut," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, tangkapan dan rampasan kemudian dibawa ke Balai Polis Kapar, untuk tindakan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63.

Katanya, kesemua tangkapan akan menjalani ujian saringan Covid-19 bagi mencegah penularan virus tersebut.

Disiarkan pada: December 26, 2020 @ 4:35pm
d