mutakhir

Semua PPS di Kelantan sudah tutup

Oleh BERNAMA

Kota Bharu: Gelombang kedua banjir di Kelantan pulih sepenuhnya, selepas pusat pemindahan sementara (PPS) terakhir di Pasir Mas yang dibuka sejak 18 Disember lalu menamatkan operasinya, hari ini.

Pegawai Kebajikan Masyarakat Jajahan Pasir Mas Azizan Aziz berkata, PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Gual Tok Deh yang menempatkan 33 orang daripada enam keluarga ditutup pada 2 petang hari ini.

"Alhamdulillah, keadaan cuaca dilihat semakin bertambah baik, selain air di kediaman mereka yang terbabit juga sudah surut dan selamat untuk pulang ke rumah masing-masing," katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Sementara itu, mengikut laporan infobanjir.water.gov.my sehingga 3 petang ini, paras air Sungai Golok di Rantau Panjang mencatatkan bacaan 8.08 meter (m), melebihi sedikit paras amaran iaitu 8m, namun menunjukkan trend menurun.

Dalam pada itu, paras air Sungai Golok di Kuala Jambu, Tumpat, kekal merekodkan bacaan melebihi paras amaran iaitu 2.48m (amaran 2.15m).

Disiarkan pada: December 26, 2020 @ 5:17pm
d