mutakhir

SAR dua lelaki hilang ditarik ombak diteruskan [METROTV]

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

Marang: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dua lelaki yang dikhuatiri lemas ketika mandi di lokasi pantai berasingan di daerah ini akan diteruskan walaupun pasukan penyelamat berdepan ombak kuat.

Ketua Polis Daerah Marang Deputi Superintendan Mohd Zain Mat Dris berkata, pencarian kedua-dua mangsa membabitkan jarak sejauh 42 kilometer bermula dari Kuala Marang hingga Kuala Abang, Dungun.

"Operasi hari ini bermula 7 pagi dan kita merancang untuk memberhentikan operasi pada 12 tengah malam ini, tetapi sekiranya perlu operasi akan diteruskan tanpa henti selama 24 jam.

"Kebiasaannya dalam tempoh 24 jam, mangsa lemas akan timbul di permukaan air dan kita akan kerah semua logistik yang ada," katanya ketika ditemui di Pantai Kelulut, di sini, hari ini.

Mohd Zain berkata, seramai 110 anggota membabitkan pelbagai agensi dikerahkan untuk operasi SAR iaitu seramai 62 anggota di Pantai Kelulut, manakala 48 anggota lagi di Pantai Jambu Bongkok.

Katanya, selain aset seperti bot, operasi turut melakukan rondaan menggunakan motosikal lasak dan jet ski.

"Melihat kepada keadaan ombak ketika ini, kita tidak menolak kemungkinan mangsa dibawa arus ke tengah laut kerana air pasang ketika kejadian berlaku semalam dan pagi tadi, air pula surut.

"Selain itu, keadaan air di pesisir pantai agak keruh dan menyukarkan kita mengesan mangsa. Sehingga kini, tiada sebarang petunjuk membabitkan kedua-dua mangsa," katanya.

Media melaporkan dua lelaki termasuk seorang bakal pengantin dikhuatiri lemas ketika mandi di Pantai Kelulut dan Pantai Jambu Bongkok, di sini, semalam.

Dalam kejadian 6.40 petang di Pantai Kelulut, bakal pengantin, Naim Hariri Kamaruddin, 31, dari Cheras, Kuala Lumpur hilang selepas ditarik ombak ketika mandi di pantai berkenaan.

Sementara itu, seorang lelaki Wan Nashaifudin Wan Latif, 48, dari Kuala Berang pula dikhuatiri lemas selepas mandi bersama enam rakannya sebelum ditarik ombak ke tengah laut di Pantai Jambu Bongkok.

Berita berkaitan

Kenduri diteruskan walau tiada pernikahan [METROTV]

Ombak kuat cabaran pencarian dua lelaki dikhuatiri lemas

'Dua lelaki lemas masih belum ditemui'

'Cepatlah kita mandi laut, nanti aku mati kempunan...'

'Bakal pengantin lelaki dijadual bernikah hari ini dikhuatiri lemas [METROTV]'

'Lelaki ajak rakan mandi laut dikhuatiri lemas'

Disiarkan pada: December 26, 2020 @ 6:55pm
d