mutakhir

'Kantoi' bawa 5,240 batang rokok seludup

Oleh Syaherah Mustafa

Pasir Mas: Seorang lelaki ditahan Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) selepas didapati membawa 5,240 batang rokok seludup bernilai hampir RM4,000, semalam.

Pegawai Pemerintah Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7), Superintendan Azhari Nusi berkata, dalam kejadian jam 5.30 petang itu, suspek yang berusia 53 tahun dengan selamba memandu keretanya melalui sekatan jalan raya di Banggol Kong, Jeram Perdah, di sini.

Bagaimanapun katanya, anggota mengesyaki sesuatu dan meminta suspek memberhentikan kenderaan untuk pemeriksaan serta diminta mengemukakan MyKad.

"Hasil pemeriksaan lanjut, anggota kemudian menemui dua plastik hitam yang mengandungi rokok pelbagai jenis disyaki diseludup dari Thailand.

"Siasatan terhadap suspek yang juga seorang buruh, mendapati kesemua rokok berkenaan diseludup untuk dijual di pasaran tempatan pada harga 75 sen sehingga 82 sen sebatang.

"Suspek ditahan dan semua barangan serta kereta dirampas untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan di sini.

Azhari berkata, kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967.

"Kegiatan seludup rokok ini berkemungkinan dilakukan melalui pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok, namun kawalan akan diperketatkan lagi terutama selepas banjir surut memandangkan keadaan sungai lebih tenang dan mudah dilalui perahu," katanya.

Disiarkan pada: December 27, 2020 @ 10:13am
d