mutakhir

Sultan Kedah hulur sumbangan kepada sekolah terpilih

Oleh BERNAMA

Alor Setar: Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah berkenan mengurniakan sembilan set bantuan keperluan belajar kepada sekolah terpilih dalam satu majlis di Istana Anak Bukit di sini, hari ini.

Set keperluan belajar itu mengandungi televisyen pintar berserta kemudahan saluran Astro (rancangan TVIQ dan Tutor TV) dan komputer riba, bertujuan memastikan supaya sesi pembelajaran di sekolah terbabit dapat dilaksanakan dengan lebih menarik, interaktif serta selari dengan perkembangan semasa.

Menurut kenyataan Unit Komunikasi Korporat Istana Anak Bukit, majlis kurniaan sumbangan itu adalah cetusan ilham oleh Tuanku Sultan, Raja Muda Kedah Tengku Sarafudin Badlishah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin dan Tunku Laksamana Kedah Datuk Seri Diraja Tunku Shazuddin Ariff Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin.

Kenyataan itu menyebut kurniaan itu menunjukkan keperibadian Tuanku Sultan dan keluarga Diraja Baginda amat mementingkan kebajikan serta pendidikan rakyat di negeri ini.

Baginda amat bersimpati atas nasib dan masalah yang dihadapi oleh warga pendidik dan pelajar dalam sesi pembelajaran pada masa yang sukar ini akibat penularan wabak Covid-19.

Sultan Sallehuddin bertitah menasihati supaya warga pendidik dan pelajar tabah serta terus berusaha walaupun dalam keadaan yang mencabar dan sukar.

"Terutama kepada warga pendidik yang boleh diibaratkan sebagai lilin yang memberikan cahaya dan menerangi jiwa pelajar dalam membentuk seorang pemimpin pada masa hadapan," titah baginda dalam kenyataan itu.

Sultan Sallehuddin juga bertitah agar semua sekolah yang menerima bantuan set keperluan belajar itu supaya dapat menggunakan sepenuhnya kemudahan yang dikurniakan bagi tujuan pengajaran dan pembelajaran.

Baginda turut menggalakkan penyertaan syarikat-syarikat korporat, konglomerat, pertubuhan serta individu untuk turut membantu warga pendidik dan para pelajar dengan memberi bantuan dalam menaik taraf kemudahan pembelajaran.

Pada majlis sama, Raja Muda Kedah turut menyumbang sejumlah beg dan pakaian sekolah kepada sembilan pegawai Pejabat Pendidikan Daerah di negeri ini untuk disampaikan kepada sekolah dan pelajar yang memerlukan.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Pendidikan negeri Ahmad Shukri Shafie, menjunjung setinggi-tinggi kasih ke hadapan Tuanku Sultan atas kurniaan itu.

"Kami amat terharu atas keprihatinan baginda Tuanku Sultan Kedah serta keluarga Diraja baginda kerana memahami keperluan warga pendidik dan pelajar dalam meneruskan sesi pengajaran dan pembelajaran dalam situasi mencabar ini," katanya.

Disiarkan pada: December 27, 2020 @ 12:35pm
d