mutakhir

'Saya nampak dia melambung ke sungai' [METROTV]

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

Teluk Intan: "Kejadian berlaku di hadapan mata. Saya lihat dia melambung dan terjatuh ke dalam sungai selepas kemalangan," kata pemancing, Zunaidee Mohd Yusuf, 52.

Zunaidee antara individu yang menyelamatkan seorang lelaki yang terjatuh ke Sungai Perak selepas motosikal berkuasa tinggi ditungganginya terbabit kemalangan dengan sebuah kereta di Jambatan Sultan Yusuf di Kilometer 49 Jalan Teluk Intan-Sitiawan, di sini, semalam.

Difahamkan, mangsa berusia 36 tahun patah kaki kanan dan retak tulang pinggul dalam kejadian pada 4.30 petang itu.

Zunaidee berkata, ketika itu dia bersama tiga rakannya sedang memancing udang galah di bot sewa mereka kira-kira 50 meter dari jambatan itu.

Menurutnya, tiba-tiba dia terdengar bunyi dentuman kuat dari arah jambatan dan melihat mangsa melambung sebelum terjatuh ke dalam sungai.

"Bot abang Musa iaitu pemilik bot sewa kami berada paling hampir dengan lokasi mangsa terjatuh dan saya bersama rakan lain segera ke sana untuk membantu.

"Ketika itu juga ada kira-kira lima bot memancing lain berada berhampiran dan kami saling menjerit meminta tolong dan lebih mencemaskan apabila melihat mangsa tidak timbul selepas terjatuh," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, mangsa yang lengkap dengan jaket, topi keledar, kasut dan sarung tangan itu timbul ke permukaan air selepas 30 saat.

"Melihat dia timbul serta masih dalam keadaan sedar membuatkan saya lega. Saya bersama empat individu lain segera menarik mangsa ke dalam bot kerana arus air ketika itu agak deras.

"Sayu hati saya mendengar mangsa mengerang kesakitan ketika kami mengangkatnya tetapi kami perlu segera menyelamatkannya," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hilir Perak Asisten Komisioner Kamarudin Mat Salleh berkata, kemalangan membabitkan kereta dipandu lelaki berusia 52 tahun yang datang dari Sarang Tiong menuju ke Teluk Intan, manakala mangsa dari arah bertentangan.

"Pemandu kereta itu mahu mengelak kenderaan di hadapannya yang memperlahankan kenderaan kerana aliran trafik perlahan dan ke kanan jalan sebelum masuk ke laluan bertentangan.

"Tiba-tiba motosikal mangsa yang datang dari arah bertentangan melanggar bahagian tepi kereta itu sebelum melambung dan terjatuh ke dalam sungai," katanya.

Kamaruddin berkata, lelaki itu diselamatkan sekumpulan pemancing yang berada berhampiran lokasi dan mangsa dihantar ke Hospital Teluk Intan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Disiarkan pada: December 27, 2020 @ 3:32pm
d