mutakhir

Sindiket memproses ubat menaikkan berat badan tumpas [METROTV]

Oleh Nur Izzati Mohamad

Georgetown: Polis menumpaskan sindiket memproses ubat-ubatan tradisional tidak berdaftar selepas merampas 22 item dan 156,777 botol ubat pelbagai jenama bernilai RM14 juta melalui dua serbuan di sebuah kilang dan premis di Bukit Mertajam dan Butterworth, dekat sini, Khamis lalu.

Serbuan pada jam 10 dan 10.30 pagi itu diadakan bersama Cawangan Penguatkuasaan Farmasi Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP).

Ketua Polis negeri, Datuk Sahabudin Abd Manan berkata, polis pada mulanya mengesyaki terdapat sindiket memproses dadah di sebuah kilang di Taman Perindustrian Macang Indah, Bukit Mertajam melalui maklumat awam sebelum ia membawa kepada pembongkaran operasi memproses ubat-ubatan tidak berdaftar.

"Berikutan itu, polis meminta kerjasama pihak JKNPP dan seterusnya melakukan pemeriksaan ke atas ubat-ubatan itu sebelum ia disahkan tidak berdaftar.

"Polis seterusnya merampas 22 jenis item termasuk peralatan untuk menghasilkan produk ubat-ubatan terlarang berkenaan yang bernilai RM2 juta dan menahan penyewa kilang lelaki warga tempatan yang juga dalang sindiket berusia 50 tahun serta pasangan suami isteri berusia 48 dan 44 tahun yang bekerja di kilang terbabit.

"Melalui siasatan ke atas suspek pertama membawa kepada serbuan kedua di sebuah premis di Taman Kencana Butterworth yang mana dalam serbuan itu JKNPP merampas 156,777 botol ubat-ubatan bernilai RM12 juta dan polis menahan abang kepada suspek pertama berusia 50 tahun," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini, hari ini.

Beliau berkata, dalam kedua-dua serbuan itu menjadikan nilai rampasan keseluruhan produk ubat-ubatan serta pelbagai barangan bernilai RM14 juta.

"Melalui siasatan sindiket berkenaan mula beroperasi awal tahun ini dan dalang utama serta abangnya mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah manakala suami isteri pula tiada rekod lampau.

"Kesemua suspek kemudian dibebaskan pada hari sama serbuan dibuat sejurus polis selesai mengambil keterangan ke atas mereka," katanya.

Sementara itu, Ketua Cawangan Penguat Kuasa Farmasi JKNPP, Arnie Fadzilah berkata, siasatan ke atas ubat-ubatan tradisional yang dirampas itu didapati mengandungi steroid yang membantu untuk menaikkan berat badan.

"Ia amat berbahaya kerana boleh merosakkan buah pinggang dan menasihatkan pengguna supaya berhati-hati apatah lagi produk ubat-ubatan ini didapati banyak di jual di kedai ubat cina serta platform e-dagang.

"Melalui siasatan, ubat-ubatan yang dirampas ini juga turut dijual di pasaran luar negara antaranya Vietnam," katanya.

Kes disiasat mengikut Peraturan 7(1)(a), 30(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 Seksyen 12(1) Akta Jualan Dadah 1952.

Disiarkan pada: December 28, 2020 @ 1:15pm
d