mutakhir

TH pilihan graduan bina kerjaya

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Lembaga Tabung Haji (TH) menerima pengiktirafan tempat kedua sebagai institusi pilihan graduan Malaysia bagi sektor badan berkanun menerusi pertandingan Malaysia's 100.

Pengiktirafan buat kali ketiga sejak 2017 itu hasil tinjauan dan undian graduan di negara ini.

Ketua Pegawai Modal Insan TH, Rina Sarif berkata, pada tahun ini TH menduduki tangga ke-40 teratas majikan terkemuka pilihan graduan dalam senarai 100 majikan.

"Anugerah ini adalah satu pengiktirafan dan keyakinan graduan terhadap TH sebagai sebuah organisasi badan berkanun yang dipercayai.

"TH amat berbesar hati dengan pencapaian anugerah ini dan berharap akan terus menjadi pilihan graduan di Malaysia untuk berusaha mencapai tahap lebih cemerlang demi kemaslahatan ummah," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Malaysia's 100 adalah program pengiktirafan anugerah pengambilan siswazah terbesar di Malaysia dan menjadi penanda aras kepada tahap kecemerlangan jenama majikan dengan mengambil kira undian graduan setiap tahun.

Ia adalah kajian terbesar dan paling lama dilakukan ke atas pola pengambilan siswazah di negara ini, dengan kajian dilakukan setiap tahun bagi memberi peluang kepada graduan berkongsi keperluan dan kehendak mereka dalam memilih pekerjaan pertama.

Pelbagai institusi lain turut dicalonkan dan menerima pengiktirafan seperti sektor perbankan, automotif, insurans, kejuruteraan dan telekomunikasi.

Disiarkan pada: December 28, 2020 @ 1:27pm
d