mutakhir

Urus dua kakak setiap hari [METROTV]

Oleh Siti Rohana Idris

Kota Bharu: Sejak setahun lalu, dia berulang-alik menjenguk dan menguruskan dua kakak yang nyanyuk serta mengalami masalah mental.

Setiap hari, Zainal Azlan Yahya, 54, akan ke Jalan Bayam, di sini menghulurkan nasi bungkus bersama minuman kepada Siti Ramlah, 72 dan Rohani, 66, yang tinggal bersebelahan di rumah masing-masing.

Bukan setakat memberi makan, Zainal Azlan akan membersihkan najis Siti Ramlah jika lampin pakai buangnya tertanggal, mencuci rumah dan memandikan kakaknya itu berikutan tidak dapat menguruskan diri sendiri sejak dua tahun lalu.

Zainal Azlan berkata, Siti Ramlah mempunyai dua anak, namun tidak dapat bergantung harap kerana seorang daripadanya kini ditempatkan di Jabatan Psikiatri Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) manakala anak perempuannya bekerja di Kuala Lumpur.

"Atas rasa tanggungjawab seorang adik, saya ke rumah dua kakak ini setiap hari untuk memberi makan dan menjenguk keadaan mereka.

"Saya menetap di Kampung Talak, Tumpat, namun menjalankan perniagaan tidak jauh dari kediaman kedua-dua kakak ini menyebabkan tiada masalah untuk saya menjenguk mereka dengan kerap.

"Setiap pagi saya akan menyerahkan dua bungkus nasi setiap seorang dan akan mengurus Siti Ramlah terlebih dahulu kerana dia tidak boleh bangun sama ada menukar memandikannya, mencuci rumah dan memakaikan lampin pakai buang," katanya.

Zainal Azlan berkata, seorang lagi kakaknya, Rohani mengalami masalah mental sejak kecil disebabkan diserang demam panas.

Menurutnya, menguruskan Rohani lebih mudah kerana dia hanya perlu menyediakan nasi bungkus dan minuman sahaja berikutan kakaknya itu mampu melakukan rutin harian serta menguruskan diri.

"Dia tidak mengganggu orang lain dan tidak pernah keluar jauh dari pekarangan rumah, cuma jika berasa lapar dia tidak senang duduk.

"Jadi, saya akan menyediakan nasi bungkus secukupnya buatnya.

"Sebagai adik, saya sangat simpati akan nasib menimpa dua kakak namun selagi mampu saya akan terus datang menjenguk mereka dan jalankan tanggungjawab," katanya.

Terdahulu, mereka dikunjungi wakil daripada Persatuan Orang Kota Bharu (POKB) yang diwakili ketua aktivisnya, Saripah Ismail.

Saripah berkata, dia akan cuba membuat permohonan kepada pihak berkaitan untuk menghantar Siti Ramlah ke pusat jagaan warga emas iaitu Rumah Sri Kenangan, Kemumin.

Katanya, usul itu dicadangkan adiknya sendiri yang melihat cara itu lebih mendatangkan kebaikan buat kakaknya yang boleh menerima penjagaan rapi.

Disiarkan pada: December 28, 2020 @ 2:54pm
d