mutakhir

Beri maklumat tepat mengenai feri - CAP

Oleh Zuhainy Zulkiffli

Georgetown: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) bimbang mengenai cara kerajaan memberikan maklumat sedikit demi sedikit mengenai transformasi perkhidmatan feri Pulau Pinang yang bakal bermula 1 Januari 2021.

Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader berkata, pihaknya banyak menerima aduan daripada orang ramai khususnya pejalan kaki yang berulang-alik antara tanah besar ke pulau.

Katanya, mereka berasa bimbang kerana terpaksa naik dan turun anak tangga curam yang sedang dibina untuk sampai ke dermaga bot laju berlabuh bagi membeli tiket bot laju di kaunter tiket Terminal Feri Sultan Abdul Halim di Butterworth.

"Terminal feri bersambung dengan tingkat tiga Penang Sentral dan kebimbangan mereka ada benarnya.

"Walaupun dikatakan warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan wanita hamil akan disediakan perkhidmatan van perantaraan (shuttle) percuma di Terminal Feri Sultan Abdul Halim, ada kemungkinan van disediakan tidak mencukupi ketika waktu puncak atau sebaliknya, penjarakan fizikal tidak dapat dilakukan, " katanya di sini, hari ini.

Mohideen berkata, menurut satu laporan, kedua-dua bot laju gentian kaca itu masing-masing sudah berusia 19 dan 21 tahun.

Katanya, disebabkan itu, enjin bot lama sepertinya memerlukan penyelenggaraan dan pembaikan lebih mahal.

"Kami ingin tahu siapakah yang membuat keputusan bagi membeli bot lama ini, apa kosnya, dan bagaimana keputusan itu diambil malah kekukuhannya perlu dipastikan terlebih dahulu sebelum bot laju diperkenalkan.

"Terdapat kebimbangan dalam kalangan penumpang yang berulang-alik mengenai kekukuhan bot laju berkenaan sekiranya kapal lain menghampirinya," katanya.

Sehubungan itu, CAP mengulangi gesaan kepada Kementerian Pengangkutan supaya bersikap lebih telus dan bersedia dalam memberikan maklumat serta kemas kini berhubung perkara terbabit.

Disiarkan pada: December 28, 2020 @ 7:47pm
d