mutakhir

Logistik punca pesakit lewat dipindahkan - Dr Noor Hisham [METROTV]

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Peningkatan pesakit dan isu logistik menjadi antara punca berlaku kelewatan pesakit Covid-19 dipindahkan dari kediaman mereka ke hospital.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kelewatan berlaku disebabkan peningkatan pesakit Covid-19 dan apabila meningkat mendatangkan masalah dari segi logistik untuk menghantar pesakit dari rumah ke hospital.

Menurutnya, tumpuan utama ketika ini adalah melihat kepada kumpulan sebagai contoh kumpulan pekerja warga asing boleh dipindahkan menggunakan bas dan sebagainya.

"Bagaimanapun, bagi individu mungkin mengambil sedikit masa untuk memindahkan mereka dari rumah ke pusat kuarantin.

"Keupayaan pusat kuarantin dan hospital masih mampu menampung pesakit cuma kelewatan berlaku dari segi logistik," katanya pada sidang media Covid-19 di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) supaya pesakit bersabar dan asingkan diri dari ahli keluarga serta sentiasa berhubung dengan Pejabat Kesihatan Daerah untuk mendapat maklumat terkini.

"Kita nasihat kepada pesakit disahkan positif Covid-19 yang sedang menunggu Pejabat Kesihatan Daerah untuk kekal di rumah, memakai pelitup muka dan pastikan tidak bergaul atau bercampur dengan ahli keluarga.

"Jika tidak, ia boleh menyebabkan jangkitan dan tunggu sehingga pihak Pejabat Kesihatan Daerah datang untuk pindahkan pesakit," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: December 28, 2020 @ 8:12pm
    d