mutakhir

Kartel daging: CAP gesa tubuh RCI

Oleh Zuhainy Zulkiffli

Georgetown: Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa pihak berkuasa supaya menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Di Raja (RCI) bagi menyiasat kegagalan sistem mengenai isu daging halal.

Gesaan itu dibuat supaya taktik kartel yang menyeludup daging sejuk beku dan seumpamanya tidak akan berulang di masa depan.

Presiden CAP Mohideen Abdul Kader berkata, sejak isu terbabit dilaporkan media, pihak berkuasa sudah menjalankan siasatan namun tidak bertindak menarik semula daging beku import dari pasaran.

Katanya, ia bermakna pengguna masih terus memakan daging yang tercemar walaupun CAP pernah menggesa pihak berkuasa supaya mengambil tindakan itu.

"Pengguna dinasihati supaya tidak membeli daging beku import dan produk daging yang diproses sehingga pihak berkuasa dapat memastikan bahawa daging beku yang beredar di pasaran adalah halal.

"Buat masa ini kita tidak boleh menganggap bahawa daging berlabel 'Halal' itu, adalah benar-benar halal, malah daging beku yang diimport dari pasaran juga perlu ditarik semula," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Pada 1 Disember lalu, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Johor bersama agensi penguat kuasa lain membongkar taktik jahat kartel yang menyeludup daging sejuk beku dari China, Ukraine, Brazil dan Argentina.

Kartel itu membungkus semula daging berkenaan menggunakan logo halal dan menjualnya ke pasaran seluruh negara sejak 40 tahun lalu.

Mengulas lanjut Mohideen berkata, tindakan tegas perlu diambil terhadap penyeludup daging beku import dan pegawai kerajaan yang mengamalkan rasuah kerana ia membabitkan soal akidah orang Islam.

Katanya, terdapat empat agensi kerajaan yang bertindak dalam meluluskan import daging halal dari negara luar dan ia tidak menjelaskan kepada orang ramai bagaimana daging tidak halal terlepas daripada pengawasan mereka.

"Paling jelas pengimportan daging tidak halal itu boleh berlaku akibat amalan rasuah pegawai agensi terbabit serta penipuan di pihak sindiket dan mereka yang melakukan jenayah berkenaan perlu bertanggungjawab atas perbuatan mereka.

"Sukar dibayangkan ia berlaku di negara kita menerusi amalan rasuah dan dengan hanya RM150 hingga RM300, daging beku berkenaan boleh terlepas daripada pandangan pegawai penguatkuasa," katanya lagi.

From: Nini

Disiarkan pada: December 29, 2020 @ 9:56am
d