mutakhir

Syak lembu dibaham harimau

Oleh Rosli Ilham

Dungun: Penternak lembu di Felda Kerteh 4, di sini, kerugian kira-kira RM15,000 selepas lima lembu mereka hilang dipercayai dibaham harimau, sejak ahad lalu.

Penternak, Che Man Abdullah, 68, berkata, dia mendapati seekor lembu tidak pulang ke kandang dan kejadian sama turut berlaku kepada empat lagi penternak lain.

"Saya cari lembu saya tidak jumpa sebaliknya saya menemui kesan tapak kaki harimau berhampiran kawasan sungai dan saya syak lembu saya dibaham.

"Pada dua minggu lalu, dua lembu rakan saya hilang dan seekor dijumpai mati dengan kesan gigitan harimau di bahagian leher," katanya ketika ditemui hari ini.

Menurutnya, dia percaya kebanyakan lembu yang hilang dibaham haiwan itu sebelum bangkai ditarik masuk ke kawasan hutan.

"Saya percaya harimau itu datang dari hutan simpan berhampiran kerana beberapa peneroka pernah terdengar ngauman dari arah sana.

"Kami tidak berani masuk ke kawasan hutan itu kerana bimbang akan diserang harimau terbabit," katanya.

Che Man berkata, ada kira-kira 30 penternak lembu di kawasan Felda Kerteh 4 dan kebanyakan lembu dilepaskan untuk mencari makanan sebelum kembali ke kandang pada waktu petang.

"Sejak Januari tahun ini banyak kes kehilangan lembu dilaporkan dan penternak percaya ia dibaham harimau.

"Kami juga bimbang haiwan ini boleh mendatangkan bahaya kepada penternak termasuk penduduk kampung," katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, Dr Abdul Malek Mohd Yusuf berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan segera mengenai masalah itu.

Katanya, pihaknya akan berjumpa dengan penternak bagi mendapatkan maklumat tepat sebelum melakukan pemasangan perangkap bagi menangkap haiwan terbabit.

Disiarkan pada: December 29, 2020 @ 12:09pm
d