mutakhir

Mata kiri tak dapat melihat

Oleh Mohd Khidir Zakaria

Rembau: Tabiat anak yang sering menutup mata kiri ketika menonton televisyen rupanya petanda penyakit.

Siti Nor Asiah Abu Hassan, 43, berkata, anaknya, Nur Amalin Najwa Kamaruzaman, 14, kerap menutup mata kiri ketika menonton televisyen selain mengadu tulisan berbalam pada waktu malam.

"Selepas diperiksa doktor, Nur Amalin dikesan menghidap hidrosefalus. Dia dikesan menghidap penyakit itu sejak Januari tahun lalu selepas terjatuh di tandas dan mengadu tiba-tiba tidak nampak semasa jatuh," katanya.

Menurut ibu tunggal itu, pakar perubatan di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) di Seremban memaklumkan 'hidrosefalus' berlaku akibat cecair di dalam kepala menekan fungsi saraf sehingga berisiko menyebabkan kedua-dua mata buta sekiranya lambat diberikan rawatan.

"Bimbang risiko Nur Amalin kehilangan penglihatan, doktor meminta saya menghantar anak ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) bagi rawatan segera walaupun saya tidak mempunyai simpanan mencukupi bagi pembedahan mengeluarkan cecair dari kepala anak," katanya ketika ditemui ketika lawatan Pertubuhan Kebajikan Asnaf Setia Kasih Negeri Sembilan (Perkasih N9) di Desa Rimbunan Kaseh Rembau, dekat sini, semalam.

Katanya, bayaran pembedahan itu ditanggung separuh oleh Jabatan Kerja Sosial Perubatan PPUM, dana sumbangan dan pinjaman sebanyak RM700.

"Terima kasih juga kepada Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun yang mencukupkan baki kos pembedahan.

"Mata kiri anak saya kini tidak dapat melihat dan anak kini bergantung sepenuhnya kepada penglihatan mata kanan," katanya.

Menurut ibu kepada lima anak berusia lima hingga 17 tahun itu, dia kini tidak dapat bekerja dan bergantung sepenuhnya kepada bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM400 sebulan dan Baitulmal sebanyak RM250.

"Sebelum ini saya bekerja di ladang di penempatan ini, namun, projek berkenaan tidak diteruskan dan kehilangan sumber pendapatan.

"Saya bimbang untuk tinggalkan anak seorang di rumah dan pergi bekerja kerana doktor menasihatkan memantau keadaan anak yang kini terdapat tumor di saraf tunjang pula.

"Anak sering mengadu sakit dalam perut, mata tak selesa, kepala sakit dan sebab itu saya bimbang untuk tinggalkan di rumah. Malah, sekiranya anak muntah saya perlu segera membawanya ke hospital," katanya.

Siti Nor Asiah berkata, dia juga bimbang kerana sewa rumah sudah tertunggak sebanyak RM153 iaitu dari Oktober tahun lalu.

Sementara itu, Norfadilah berkata, pihaknya menghulurkan bantuan wang tunai kepada keluarga itu dan bantuan 'Back to School' kepada anak Asiah yang masih bersekolah.

"Ibu tunggal ini kini perlu membawa Nur Amalin membuat rawatan serta temujanji dengan pakar di PPUM bagi tumor di saraf tunjangnya dan tentulah memerlukan bantuan kewangan.

"Pihak kami akan cuba meringankan beban keluarga ini dan anaknya," katanya.

Orang ramai yang mahu meringankan beban keluarga ini bolehlah terus ke akaun Maybank 106098383266 atas nama Siti Nor Asiah Abu Hassan.

Disiarkan pada: December 29, 2020 @ 12:43pm
d