mutakhir

Paderi warga Korea bisu, pekak didakwa lagi kes cabul [METROTV]

Oleh BERNAMA

Georgetown: Seorang paderi warga Korea yang bisu dan pekak yang pernah dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan mencabul dua lelaki orang kurang upaya (OKU), sekali lagi didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan sama membabitkan seorang lagi lelaki, 20 tahun lalu.

Jee Jon Hoon, 55, dituduh melakukan perbuatan itu termasuk memeluk dan mencium mangsa yang berumur 30 tahun ketika kejadian, di sebuah rumah di Gelugor, pada 2000.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu jika sabit kesalahan.

Tiada pengakuan direkodkan daripada Jee yang diwakili peguam G Shanmugam.

Majistret Rosnee Mohd Ridzuan membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan dua penjamin warganegara Malaysia serta syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis terdekat setiap bulan dan dilarang mengganggu mangsa.

Mahkamah menetapkan 9 Februari depan untuk sebutan semula kes yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Shahrezal Mohd Shukri, bagi mendapatkan jurubahasa Korea dan jurubahasa isyarat antarabangsa.

Pada 18 Disember lalu, tertuduh didakwa di Mahkamah Majistret Butterworth atas dua pertuduhan mencabul dua lelaki OKU, tujuh tahun lalu.

Disiarkan pada: December 29, 2020 @ 2:50pm
d