mutakhir

Upah RM1,000 seludup ketum dari Kedah ke Kelantan

Oleh Mohd Rashidi Yusuf

Gerik: Dua lelaki ditahan bersama empat tan daun ketum bernilai RM120,000 di Kilometer 17, Jalan Raya Timur Barat (JRTB) dekat sini, pada 10.30 malam, Ahad lalu.

Rampasan dilakukan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah IPD Gerik itu adalah rampasan terbesar tahun ini dan kedua-dua suspek mendakwa menerima upah RM1,000 seorang untuk menyeludupnya dari Kedah ke Kelantan.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Zulkifli Mahmood berkata, pada awalnya polis mengekori lori lima tan itu dari Gerik sebelum menahan dua suspek lelaki iaitu pemandu lori berusia 46 tahun dan kelindan berusia 52 tahun.

Beliau berkata, apabila pemeriksaan dilakukan, 800 bungkusan plastik hitam berisi daun tumbuhan dipercayai daun ketum ditemui di belakang lori itu.

"Hasil soal siasat, mereka mendakwa sebelum itu bergerak dari Kelantan ke Kedah untuk mendapatkan bekalan daun berkenaan untuk dibawa pulang dan dipasarkan di Kelantan.

"Daun disyaki ketum itu diseludup dari Kedah dengan harga RM40,000 dan dijual dengan harga RM30 sekilogram dan hasil maklumat awam, polis mengekori pergerakan mereka sejak dari Gerik.

"Akhirnya apabila sampai di KM 17, JRTB Gerik-Jeli, lori itu akhirnya ditahan," katanya pada sidang media di IPD Gerik, hari ini.

Beliau berkata, upah RM1,000 seorang itu menyebabkan kedua-dua suspek sanggup menyewa lori yang dipercayai diurus sindiket dan merentasi perjalanan lebih 300km pergi dan balik untuk menyeludup ketum.

Menurutnya, kedua-dua suspek itu direman tiga hari bermula 28 hingga 30 Disember untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952.

Katanya, jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau dipenjara tidak melebihi empat tahun atau kedua-duanya sekali.

"Mengenai kes berkaitan ketum, kami melakukan tiga rampasan sejak September membabitkan rampasan melebihi 1,000kg dan yang keempat ini paling besar pada tahun ini.

"Sebanyak 66 kes membabitkan 87 tangkapan di seluruh Gerik dan Lenggong dilakukan sepanjang Januari hingga Disember tahun ini dengan rampasan 11.78 tan daun ketum dan 319.96 liter air ketum keseluruhan bernilai lebih RM350,000," katanya.

Disiarkan pada: December 29, 2020 @ 3:12pm
d