mutakhir

4,000 liter cecair tumpah, jalan ditutup tiga jam

Oleh Asrol Awang

Pekan: Sebuah treler membawa 20,000 liter bahan mentah untuk membuat gam perabot terbalik selepas terbabit dalam kemalangan di Jalan Kuantan-Segamat, dekat Paloh Hinai, di sini, hari ini.

Dalam kejadian 5 pagi itu, 4,000 liter cecair bahan terbabit tumpah di atas sebahagian permukaan jalan yang menyebabkan laluan jalan itu ditutup selama tiga jam.

Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, kemalangan dipercayai berlaku selepas treler dari arah Kuantan membawa cecair terbabit terbabas sebelum terbalik.

Beliau berkata, akibat kemalangan itu, pemandu treler berusia 46 tahun cederaa dan menerima rawatan di Hospital Pekan.

"Bagi mengelak kejadian tidak diingini, Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gebeng, Kuantan bergegas ke lokasi kejadian untuk mengenal pasti jenis tumpahan cecair itu.

"Hasil pemeriksaan mendapati bahan terbabit bukan bahan penghakis dan bukan mudah terbakar (tidak membahaya kepada manusia dan alam sekitar)," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, dianggarkan kira-kira 4,000 liter bahan terbabit tumpah dan mengalir ke dalam parit berhampiran.

Katanya, proses pemindahan baki kira-kira 16,000 liter ke dalam lori tangki lain dijalankan sebelum laluan terbabit dibuka sepenuhnya kepada lalu lintas selepas operasi pembersihan selesai pada 8.30 pagi.

Disiarkan pada: December 29, 2020 @ 3:39pm
d