mutakhir

140 pesalah ditahan, RM1.8 juta sitaan kes jenayah hidupan liar

Oleh Hamzah Osman

Langkawi: Sebanyak 76 kertas siasatan berkaitan jenayah hidupan liar dibuka membabitkan 140 pesalah dengan nilai sitaan lebih RM1.8 juta, sepanjang tahun ini.

Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, angka itu berdasarkan 20 Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) dijalankan sejak Januari lalu.

"Dalam tempoh sama, 653 jerat dimusnahkan, 141 kesan khemah pendatang asing tanpa izin (Pati), 21 (tebangan pokok karas) serta 391 pemburuan lain berjaya direkodkan.

"Selain itu, 243 premis restoran eksotik diperiksa dalam operasi khas dengan 12 kes direkodkan melakukan kesalahan mengikut Akta 716 (Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010)," katanya pada sidang media bersama selepas Mesyuarat OBK di sini, hari ini.

Mesyuarat dipengerusikan Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir yang turut dihadiri Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Abdul Kadir berkata, berdasarkan rekod, pihaknya memfokuskan pembasmian jerat pada tahun hadapan kerana ia adalah kesalahan serius.

"Kita dapati jerat banyak dipasang di pinggir hutan dan berhampiran kongsi ladang, contohnya di Taman Negara di Pahang dan Banjaran Titiwangsa di Perak.

"Di samping itu, pada 26 November lalu, Perhilitan melupuskan sisik tenggiling bernilai RM25.3 juta hasil rampasan JKDM sejak 2017," katanya.

Disiarkan pada: December 29, 2020 @ 3:47pm
d