mutakhir

Polis buka kertas siasatan isu kartel daging import

Oleh BERNAMA

Langkawi: Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi jaminan untuk membantu siasatan kes kartel daging import, walaupun Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) adalah agensi paling relevan dalam isu itu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, pihaknya sudah membuka beberapa kertas siasatan berhubung isu itu berdasarkan laporan daripada beberapa individu dan badan bukan kerajaan (NGO).

"Isu ini berkaitan perihal dagangan, jadi paling relevan untuk menyiasatnya adalah KPDNHEP, tapi dalam pada itu PDRM tetap jalankan siasatan daripada laporan mendakwa wujud kartel melakukan penyelewengan dalam isu daging import.

"Saya melihat daripada sudut jika terbukti kegiatan ini benar (berlaku), dan timbulkan kegusaran kepada orang ramai, saya (PDRM) akan ambil tindakan undang-undang," katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) di sini, hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, setakat ini masih belum ada sebarang penahanan dibuat polis berhubung kes itu.

Isu kartel daging import seludup yang diragui status halal, kini menjadi hangat setelah media berjaya membongkar kes itu, baru-baru ini, sekali gus mencetuskan kegusaran orang ramai.

Disiarkan pada: December 29, 2020 @ 4:53pm
d