mutakhir

Beroperasi dalam ladang sawit elak dikesan

Oleh Hassan Omar

Alor Gajah: Tindakan seorang peniaga membina kilang bagi aktiviti pembuatan palet dalam ladang kelapa sawit terbongkar apabila diserbu pihak berkuasa di Kampung Bukit Hantu, Lendu, di sini, hari ini.

Difahamkan, kewujudan premis haram berkenaan agak tersorok apabila terletak kira-kira tiga kilometer dari jalan utama.

Serbuan dilakukan anggota penguat kuasa Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) selepas menerima maklumat berhubung aktiviti berkenaan yang mampu mengaut keuntungan berlipat kali ganda.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Seri Abdul Ghafar Atan berkata, tindakan kompaun dikenakan terhadap pemilik kilang di kawasan seluas kira-kira 0.5 hektar itu.

Menurutnya, pihaknya turut meminta pemilik yang dipercayai sudah beroperasi sejak setahun lalu supaya hadir di pejabat MPAG untuk siasatan lanjut.

"Kita akan mengambil tindakan tegas termasuk menyita kilang ini jika pemiliknya enggan memberikan kerjasama.

"Siasatan MPAG mendapati pemilik kilang berkenaan tidak pernah mengemukakan permohonan pelan pembinaan kilang, namun siasatan lanjut sedang dijalankan," katanya.

Hadir sama, Yang Dipertua MPAG, Mohd Fadhil Hassan.

Katanya, selain kilang berkenaan, terdapat beberapa kilang haram lain dikenal pasti di negeri ini dan serbuan yang sama akan dilakukan tidak lama lagi.

Disiarkan pada: December 29, 2020 @ 5:33pm
d