mutakhir

Kartel daging import: USJT Bukit Aman mula siasatan

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan berhubung isu kartel daging import yang menggunakan label halal palsu susulan menerima 13 laporan polis.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Datuk Huzir Mohamed berkata, siasatan dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bahagian D5 JSJ Bukit Aman.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan kerana menyebabkan ketakutan atau kegentaran awam.

"Setakat ini, sebanyak 13 laporan polis diterima daripada orang awam yang melahirkan rasa kegusaran selepas membaca laporan khas mengenai serbuan di sebuah gudang di Senai, Johor dan pendedahan eksklusif oleh akhbar tempatan berkaitan kegiatan syarikat yang menyeludup daging import secara haram serta menukar status halal daging untuk pasaran tempatan.

"Berdasarkan jumlah rampasan, sitaan dan nilai terbabit, tidak dapat dinafikan bahawa aktiviti ini membabitkan rangkaian yang luas serta didalangi sindiket dalam dan luar negara," katanya dalam kenyataan hari ini.

Huzir berkata, siasatan dijalankan akan merangkumi pihak terbabit dalam pemerolehan, penyimpanan, pemprosesan, penyeludupan, pihak yang memanipulasi, bersubahat dan membawa masuk daging sejuk beku melalui permit import (AP).

Katanya, pihaknya memandang serius perkara itu dan komited menanganinya melalui jaringan kerjasama agensi lain seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) serta Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

"Kewajaran tindakan ke atas sindiket ini adalah dengan mengambil kira kegusaran rakyat Malaysia terutama isu menyentuh sensitiviti agama Islam, ketidakpuasan hati dan mengancam ketenteraman dalam negara akibat perbuatan pihak tidak bertanggungjawab, menjejaskan imej negara sebagai hub halal serta memberi kesan besar kepada sektor ekonomi negara," katanya.

Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat tampil membantu siasatan dan tidak menularkan berita tidak sahih di media sosial sehingga menyebabkan kegentaran awam serta menggugat keharmonian negara.

Disiarkan pada: December 29, 2020 @ 6:22pm
d