mutakhir

Penganjur, pelumba haram LPT2 tumpas

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Dua kumpulan pelumba haram ditumpaskan apabila 10 individu termasuk penganjurnya ditahan polis dalam tiga serbuan berasingan di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), Terengganu pada awal pagi hari ini.

Kesemua lelaki berusia antara 24 hingga 33 tahun itu ditahan dalam Operasi Samseng Jalanan oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman.

Timbalan Pengarah JSPT Bukit Aman Datuk Mohd Nadzri Hussain berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai perlumbaan motosikal membabitkan wang pertaruhan RM3,000 antara 'Group Kerteh' dan 'Group Kemaman' di LPT2 bermula di Kilometer (KM) 320 hingga 331 arah timur.

"Ketika risikan dilakukan, pasukannya melihat sebuah motosikal ditunggang seorang lelaki dengan tidak memakai topi keledar dan melakukan aksi Superman pada 12.50 tengah malam.

"Dia memberhentikan motosikal di bahu jalan belakang sebuah kenderaan Nissan Navara yang dinaiki dua lelaki disyaki terbabit secara langsung dalam pengurusan pertandingan atau ujian kelajuan.

"Ketiga-tiga lelaki itu kemudiannya ditahan untuk siasatan lanjut," katanya dalam kenyataan hari ini.

Nadzri berkata, selepas itu pasukan menahan empat lagi lelaki disyaki penganjur perlumbaan haram yang menaiki kereta Proton Wira di parkir kawasan Rehat Plaza Tol Kerteh.

"Pada 3.30 pagi pasukan melihat pula sebuah motosikal ditunggang seorang lelaki sambil melakukan aksi Superman bermula di KM 327 sehingga KM 329 LPT2 arah Kuala Terengganu.

"Suspek memberhentikan motosikal di hadapan tandas Plaza Tol Paka bersebelahan sebuah Nissan Navara dinaiki dua lelaki dipercayai terbabit secara langsung dalam pengurusan pertandingan atau ujian kelajuan yang tidak diluluskan, mereka turut ditahan untuk siasatan," katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 81 akta yang sama.

Disiarkan pada: December 29, 2020 @ 10:48pm
d