mutakhir

Lelaki langgar lari di Lebuhraya Grand Saga ditahan

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Kajang: Pemandu kereta yang disyaki melanggar lari Toyota Vios sehingga menyebabkan seorang maut dan empat cedera di Kilometer 11.8 Lebuhraya Grand Saga di sini, pada 23 Disember lalu, ditahan polis hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang Superintendan Mohd Sabri Abdullah berkata, lelaki berusia 25 tahun itu ditahan di rumahnya di Cheras pada 2.30 petang.

"Hasil soal siasat dilakukan terhadap suspek, dia mengaku terbabit dalam kemalangan itu.

"Polis dengan dipandu arah oleh suspek menemui kereta suspek yang disembunyikan di kawasan Pandan Indah.

"Terdapat kerosakan di beberapa bahagian kenderaan itu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Sabri berkata, kenderaan suspek dan mangsa dihantar ke Jabatan Kimia untuk analisa serta siasatan lanjut.

"Ujian saringan air kencing dan sampel darah suspek akan diambil untuk membantu siasatan," katanya.

Menurutnya, suspek akan dibawa ke Mahkamah Kajang esok bagi mendapatkan perintah reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Harian Metro pada Khamis lalu melaporkan, seorang maut manakala empat orang termasuk bayi berusia sebulan cedera apabila kereta dinaiki lima sekeluarga itu terbabas sebelum terbalik dalam kejadian di Kilometer 11.8 Lebuhraya Grand Saga.

Dalam kejadian pada 10.45 malam, kereta Toyota Vios dinaiki keluarga terbabit terpaksa brek mengejut sebelum berpusing dan terbalik.

Mangsa yang terselamat mendakwa dirempuh dari belakang oleh kenderaan tidak dikenal pasti menyebabkan dia terpaksa brek mengejut.

Berita berkaitan

Maut tercampak keluar dari kereta

Disiarkan pada: December 29, 2020 @ 10:59pm
d