mutakhir

Bekalan air dijangka pulih 12 tengah hari esok

Oleh Norzamira Che Noh

Shah Alam: Kerja pembaikan paip utama di Bulatan Persiaran Tengku Ampuan, Seksyen 15 di sini, yang pecah selesai sepenuhnya pada 9 malam tadi.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam kenyataan memaklumkan kerja berkenaan siap mengikut jadual dan air mula disalurkan kepada pengguna bermula 9.30 malam.

"Tempoh pemulihan bekalan air adalah secara berperingkat-peringkat bagi setiap kawasan bergantung kepada lokasi dan jarak premis pengguna.

"Bekalan air di kawasan-kawasan yang terjejas dijangka akan pulih sepenuhnya pada 12 tengah hari esok," katanya.

Terdahulu, 130 kawasan di wilayah Klang/Shah Alam serta Petaling mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual mulai 1 petang hari ini selepas paip utamanya pecah pagi tadi.

Susulan kejadian itu, Air Selangor terpaksa menutup bekalan air pada 1 tengah hari bagi memastikan kerja pembaikan ini berjalan lancar.

Penutupan bekalan air itu menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual di 58 kawasan di wilayah Klang/Shah Alam dan 72 kawasan di Petaling.

Berita berkaitan

130 kawasan di Klang, Shah Alam, Petaling bakal alami gangguan air

Disiarkan pada: December 29, 2020 @ 11:15pm
d