mutakhir

Dua tahun mencari sinar Ilahi

Oleh Mohd Khidir Zakaria

Seremban: "Selama dua tahun saya menanti peluang menjadi saudara baharu dan menganut agama Islam, baru hari ini saya dapat mengucapkan dua kalimah syahadah," kata saudara baru, Maisarah Abdullah, 42, ketika ditemui selepas secara rasminya memeluk agama Islam.

Menurutnya, sejak dua tahun lalu dia sentiasa mencari peluang (masuk Islam) tetapi tidak berjumpa dengan orang yang boleh membawanya menjadi Muslim sejati.

"Tidak dapat digambarkan bagaimana leganya sebaik bergelar Muslim dan benarlah kata sahabat saya, sebaik mengucapkan dua kalimah syahadah, saya seolah-olah seperti bayi yang baru dilahirkan.

"Sebaik saya dapat menghubungi seorang ustaz (Abdul Mutalib Manap), saya di bawa ke Pusat Dakwah Islamiah Paroi, akhirnya saya dapat merealisasikan hasrat yang sudah lama terpendam dan jadilah saya seorang Muslimah dan pastinya ia kenangan terindah dalam hidup saya," katanya.

Sebelum itu, terlebih dahulu, dia memaklumkan kepada tiga anaknya berusia dari 13 hingga 17 tahun hasrat hati yang sudah lama terpendam dan mereka merestuinya.

"Dua anak lelaki berusia 16 dan 17 tahun berada di Singapura kerana bekerja di sana, cuma anak bongsu perempuan yang berusia 13 tahun tinggal bersama saya," kata ibu tunggal ini sejak lima tahun lalu.

"Saya tidak memaksa tiga anak kandung mengikut saya memeluk Islam dan biarlah mereka membuat keputusan sendiri apabila dewasa kelak, namun saya percaya mereka akan mengikuti langkah saya memeluk agama ini," katanya.

Maisarah berkata, dia ikhlas memeluk Islam dan mahu belajar dengan keluarga angkatnya yang beragama Islam di Gombak, Selangor.

"Selepas ini saya mahu berhijrah ke Gombak dan mahu belajar agama Islam lebih dalam terutama soal solat lima waktu, berpuasa dan semuanya berkaitan Islam supaya saya boleh menjadi Muslimah yang baik.

"Saya tidak ada adik-beradik dan ibu bapa, jadi ia memudahkan saya membuat keputusan penting selepas tertarik dengan rakan-rakan yang beragama Islam ," kata wanita yang nama asalnya, G Puwaneswary.

Sementara itu, penceramah, Ustaz Abdul Mutalib Manap, 54, berkata, dia dihubungi Maisarah yang memaklumkan berminat dengan Islam dan bersedia menjadi seorang Islam.

"Saya sebenarnya ada hal mustahak di kampung kerana abang saya baru meninggal dunia tetapi yang ini lebih penting dan menjadi kewajipan saya memudahkan hasratnya mahu masuk Islam selepas menunggu dua tahun.

"Alhamdulillah, hasratnya tercapai dan saya berharap dia akan menjadi Muslimah yang baik dengan bantuan keluarga angkatnya di Gombak," katanya ketika ditemui semalam.

Disiarkan pada: December 30, 2020 @ 9:02am
d