mutakhir

Bimbang peningkatan kes Covid-19 dari luar Melaka

Oleh Hassan Omar

Alor Gajah: Kerajaan negeri bimbang dengan peningkatan kes Covid-19 disebabkan jangkitan dari luar Melaka kepada 25 kes setakat semalam, berbanding hanya lapan kes pada November lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, 14 daripada kes berkenaan adalah kontak kepada kes positif di negeri lain yang menyebabkan jangkitan kepada anggota keluarga dan komuniti di negeri ini.

Beliau berkata, jumlah berkenaan tidak termasuk kes import daripada saringan banduan di penjara negeri ini.

"Pergerakan aktif masyarakat meningkatkan risiko transmisi dalam komuniti terutama apabila anggota masyarakat leka dan tidak mengendahkan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan.

"Sebanyak 969 kes positif dicatatkan setakat 28 Disember lalu dengan jumlah kematian enam orang, iaitu 0.6 peratus daripada jumlah kes keseluruhan.

"Sebanyak 641 kes sembuh dengan peratus kesembuhan 66.2 peratus," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai supaya menangguhkan aktiviti merentas negeri dan mengelakkan pertemuan tidak penting.

Menurutnya, sesiapa yang bergejala dari kawasan berisiko seperti zon merah atau kawasan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD), harus segera menghubungi bilik gerakan daerah untuk penilaian risiko.

"Mereka harus melakukan kuarantin kendiri sebelum menjalani saringan kesihatan dan tidak harus merahsiakan maklumat penting seperti kontak dengan kes positif Covid-19.

"Sila berada di rumah jika tiada urusan penting di luar dan jika ada urusan yang perlu dibuat, patuhilah SOP ditetapkan," katanya.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut diminta menghubungi Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis (CPRC) Melaka dengan menelefon 06-2356999/6851 atau melalui e-mel cprcmelaka@moh.gov.my.

Maklumat boleh diperoleh dari Bilik Gerakan Daerah Melaka Tengah (06-2813353), Alor Gajah (06-5566391) dan Jasin (06-5293908).

Disiarkan pada: December 30, 2020 @ 11:37am
d